Thursday, February 24, 2011

Sukan SEA tanpa Chong Wei, Koo-Tan

KUALA LUMPUR - Skuad badminton Malaysia mungkin boleh melupakan hasrat untuk mencari keputusan terbaik pada Sukan SEA Indonesia, November ini kerana akan beraksi tanpa tonggak terbaiknya, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pasangan utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. 

Malah, skuad wanita yang akan turun sebagai penyandang juara berpasukan juga mungkin tidak menyenaraikan pasangan utamanya dan pemenang pingat emas beregu 2009, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui jika beregu senior itu bergelut untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012.

Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Road to London 2012 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 25 Januari lalu memberi kelonggaran kepada badminton untuk merehatkan tonggak utama pada temasya yang berlangsung dari 11 hingga 25 November itu.

Pusingan kelayakan Olimpik akan bermula pada April ini dan ketika Sukan SEA berlangsung nanti terdapat dua kejohanan kelayakan yang diadakan serentak dengan temasya berkenaan iaitu Siri Super Terbuka Hong Kong (15-20 November) dan Terbuka China pada 22-27 November.

"Lee Chong Wei dan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong diberi pengecualian daripada Sukan SEA kerana tidak mahu menganggu perancangan Sukan Olimpik, manakala status Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula bergantung kepada kedudukan mereka untuk layak ke Sukan Olimpik ketika Sukan SEA berlangsung.

"Memandangkan Pei Tty-Eei Hui kini mengalami kejatuhan ranking yang teruk ekoran kecederaan panjang yang dialami Pei Tty, maka mereka mungkin agak bergelut untuk melayakkan diri ke temasya London. Malah, ada dua kejohanan kelayakan yang berlangsung serentak dengan Sukan SEA, jadi ia lebih penting buat mereka.

"Bagaimanapun jika pada hari temasya Pei Tty dan Eei Hui sudahpun berada pada kedudukan yang baik untuk layak ke Olimpik, maka mereka mungkin boleh beraksi di Indonesia. Tetapi, Wong Mew Choo sudah sah mewakili negara ke temasya itu,'' kata Chin Chai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Bukit Kiara, semalam.

Selepas Muhammad Hafiz Hashim mengumumkan pengunduran daripada skuad kebangsaan dan Chong Wei pula dikecualikan daripada bertanding, BAM kini mungkin terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain muda seperti Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Liew Daren, Chan Kwong Beng atau Mohd. Arif Latif untuk menggalas cabaran di Temasya XXVI.

Dalam saingan beregu, ketiadaan Kien Keat-Boon Heong mungkin boleh ditampung beregu muda seperti Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong atau memberi kepercayaan kepada pasangan senior seperti Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Hoon Thien How.



Utusan

No comments:

Post a Comment