Thursday, January 27, 2011

Naim sokong atlet fokus Olimpik London

TIMBALAN Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad menyokong penuh saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery agar barisan atlet berbasikal negara memberi tumpuan khusus dalam Program Road to London berbanding penyertaan di Sukan Sea, Indonesia hujung tahun ini.
Berbasikal yang kini menjadi fokus utama program itu untuk menghasilkan emas pertama temasya terbesar dunia Olimpik, London 2012 selain badminton menambah dua nama lagi untuk menjadikan senarai pelumba yang berada dalam program itu menjadi enam.

Justeru, jika sebarang pertandingan tidak mendatang kepentingan kepada pelumba memang wajar Sukan Sea diketepikan untuk memberi perhatian lebih khusus kepada persediaan menghadapi Sukan Olimpik.
Naim berkata, pelumba negara kini dalam kelas tersendiri dan kemampuan Azizulhasni Awang, Rizal Tisin dan Josiah Ng di peringkat dunia sudah teruji.

“PKBM menyokong saranan Shabery. Fokus utama adalah Olimpik dan tiada acara atau pertandingan lain boleh menghalang merealisasikan impian itu.

“Sukan Sea akan menjadi medan terbaik buat pelumba muda dan pelapis dan perkara itu sudah dipersetujui PKBM. Ia menjadi batu loncatan buat atlet muda beraksi di kejohanan lebih tinggi selepas itu. “Biarlah barisan senior memberi tumpuan terhadap tanggungjawab meraih emas pertama di Olimpik dan kejohanan lain diserahkan kepada pelumba muda,” katanya.

Konflik penyertaan itu mula timbul apabila kelompok pelumba elit dijadual beraksi di Kejohanan Piala Dunia Klasik siri pertama di Australia dan selepas itu menyertai siri kedua yang berlangsung di Cali, Colombia ketika Sukan Sea berlangsung. Kedua-dua pertandingan itu menawarkan mata berharga untuk melayakkan diri beraksi di Olimpik.

“Disebabkan itu barisan elit ini sudah pasti tidak disenaraikan di Sukan Sea.” Tanpa kehadiran pelumba elit, ia membuka peluang kepada negara lain memberikan saingan kerana jika tidak mudah buat pelumba negara merangkul emas.” Terdahulu, PKBM melahirkan rasa gembira apabila Adiq Husainie Othman dan Fatehah Mustapha disenaraikan dalam program Road to London menyertai Azizulhasni, Josiah, Rizal dan Muhammad Edrus.

MyMetro

No comments:

Post a Comment